Assalamualaikum w.b.t
Saya ada sesuatu untuk dikongsikan bersama. Iya, menggunakan kata ganti nama 'saya' untuk entry kali ini. Semoga apa yang ingin saya kongsikan dapat kita sama-sama fahami diakhir cerita. Perjalanan cerita mungkin tidak menarik sebab ianya hanya mengambil masa dalam 30minit (pengalaman sebenar), tetapi membawa seribu makna.
--------------------------------------------------------------------------------------------
Pagi tadi saya bangun dan tersedar disebabkan sakit perut secara tiba-tiba. Terus capai tuala mandi dan bergegas ke bilik air tanpa was-was. Setelah lepaskan hajat, tiba-tiba kepala saya berdenyut dan seakan-akan ingin muntah. Namun saya terus bersedia untuk bersiram (mandi), konon nak melawan perasaan itu. Bila difikirkan balik, aku demam ke? Food poisoning? Oh tidak!
Beranggapan bahawa itu mungkin hanya perasaan sahaja, saya terus membuka paip shower untuk menyucikan diri. Tiba-tiba sekali lagi kepala saya berdenyut. Fikiran melayang layang seolah-olah ingin menyembah bumi. Ya-Allah, kenapa ni? Saya terus menutup pili paip dan bersedia keluar dari bilik air. Tapi saya tak mampu. Kepala saya berterusan berdenyut. Lama kelamaan saya sedar, pandangan saya semakin kabur. Saya tak nampak! Saya takut untuk memejam mata sebab saya risau, macam mana nanti kalau aku pejam dan celik nanti aku terus tak akan nampak?
Mulut saya tak habis-habis beristigfar. Ya-Allah, Ya-Allah, Ya-Allah, Astagfirullah Al Azim, Ya Allah bantulah aku. Hanya itu yang saya mampu ucap dibibir. Sungguh berat ujian Mu walaupun hanya berlaku sesaat Ya-Allah. Mata saya terus celik namun masih tidak nampak apa-apa. Kosong dan kabur. Saya cuba gerakkan tangan didepan mata, berharap agar masih nampak bayangan. Namun tak berhasil! Ya-Allah, apa dah jadi kepadaku? Saya tak mampu melihat dan saya terpaksa duduk untuk menenangkan hati. Setelah beberapa minit mungkin, saya masih lagi tak mampu melihat. Saya terus bangun, terkapai-kapai tangan dan mencapai tombol bilik air, bersedia untuk keluar.
"Along! Along!" Saya menjerit sekuat hati dengan suara yang sebak. Namun tiada sahutan. Hati saya menangis lagi. "Along!Along!" Saya tetap berusaha sambil tergapai-gapai mencari jalan untuk sampai ke bilik. Saya hanya menggunakan deria hati untuk bergerak. Ya-Allah, beratnya dugaanMu! " Ye dik, along pergi pejabat maintenance." Alhamdulillah, abang ipar saya bersuara akhirnya. "Abang min, adik tak nampak! Adik takleh jalan, adik tak nampak!" Suara saya semakin sebak. "Ya-Allah, kenapa? Nanti abang min call along dulu" Abang min terus meluru ke arah saya. Dia pimpin tangan saya dan membawa saya ke bilik. "Adik baring dulu". Kelam kabut abang min barangkali sambil menelefon along. Saya tak tahu macam mana situasi sebab saya tak dapat lihat apa apa pun.
Saya cuba lagi memegang mata. Menggosok perlahan. Saya cuba cubit pipi. Iya! Aku tak bermimpi. Ini adalah realiti. Ya-Allah, adakah aku sudah mula tiada deria melihat, aku buta? Bermacam-macam perkara wujud difikiran. Air mata saya terus bercucuran, mulut saya tak henti-henti mengucap khalimah syahadah. Terus terngiang dibenak fikiran, umi, adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, dan guru-guru. Ya-Allah, jika ini dugaanMu terhadapku, aku redha. Tapi berikanlah aku kekuatan Ya-Allah. Aku hambaMu yang lemah. Disaat saya berasa lemah longlai, pada masa itulah saya terlintas setiap apa yang terjadi adalah ketetapan Allah s.w.t. Setiap apa yang kita ada, bila-bila masa sahaja Dia akan tarik semula. Sungguh agung kuasa-Mu Ya-Allah!
Abang ipar saya datang lagi menjenguk "Adik dah ok?" "Belum nampak lagi" saya masih lagi menangis.
Jiwa saya seolah-olah mati. Tapi saya masih yakin Allah s.w.t hanya ingin menguji dan pada saat itulah juga saya menadah tangan "Ya-Allah, aku tak pasti apa yang aku alami ini Ya-Allah. Namun jika ini adalah dugaan-Mu, jika ini adalah ketetapan-Mu, aku redha Ya-Allah, aku redha." Saya tak mampu berbuat apa-apa, saya hanya berserah. Saya hanya mampu redha qada' dan qadar Yang Maha Esa.
Tetapi, Alhamdulillah beberapa minit berlalu, ketika saya duduk dibucu katil dan meratapi nasib diri, mata saya yang kabur tiba-tiba pulih semula. Saya nampak katil, saya nampak meja solek, saya nampak almari! Ya-Allah Engkau berikan penglihatan aku semula! Alhamdulillah! Alhamdulillah!Subhanallah! Terima kasih Ya-Allah!
Hanya Allah s.w.t yang tahu betapa gembiranya hati. Walaupun hanya beberapa minit perkara ini berlaku, sungguh agung kuasa Allah s.w.t. Saya tak pasti apa yang sebenarnya berlaku, namun saya tahu ini adalah ujian daripada Allah s.w.t. Untuk kita lebih menghargai apa yang kita ada, untuk kita lebih mengerti apa sebenarnya tugas kita di bumi Allah.s.w.t Subhanallah, Maha Suci Allah yang mencipta sekalian alam.
-----------------------------------------------------------------------
Saya call umi, menangis tak henti-henti sambil menceritakan apa yang terjadi. "Adik ingat adik dah buta umi" Ya-Allah lemahnya hamba-Mu walaupun diuji hanya sekejap sahaja. Umi kata saya pitam sebenarnya. Tapi sebab saya bertahan, dan tak berani nak pejam mata, jadi pandangan saya kosong dan gelap. Jujur saya katakan, pengalaman ini memang menakutkan. Bukan takut dengan kuasa Allah s.w.t, sebab saya takut jika andainya saya betul-betul hilang deria penglihatan secara tiba-tiba begini, adakah saya mampu menerima setiap dugaan? Adakah saya mampu menjadi muslimah yang kuat, sedangkan ketika mempunyai pancaindera yang sempurna pun saya tidak kuat?
Saya bersyukur kerana Allah s.w.t sentiasa menyayangi saya, sentiasa memakbulkan doa saya walaupun saya begitu kerdil disisi-Nya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Dan saya memanjatkan kesyukuran apabila celiknya saya semula melihat dunia, saya mendapat panggilan dari sebuah syarikat. Alhamdulillah, saya diterima bekerja dan akan memulakannya minggu hadapan. Ya-Allah, ujian-Mu ini hanya untuk menguji kekuatanku. Percayalah setiap yang terjadi ada hikmahnya. Semua itu untuk menjadikan kita manusia yang lebih kuat rasa bersyukur.
Kadang kadang ALLAH S.W.T berikan kita gelap, mendung dan hujan. Kita tanya mana matahari? Rupanya ALLAH S.W.T nak bagi kita pelangi yang indah. Alhamdulillah ♥
Terima kasih sudi baca!
3 comments:
nice true story..Allah itu maha adil =)
i feel surprised, huhu...
kalau saya di tempat awk,saya juga mungkin akan fikirkan perkara yang sama..
be strong,k ujian ini mungkin adalah tanda Allah sayangkan kita..
alhamdulillah Allah pulangkan semula penglihatan awak :)
Post a Comment