Assalamualaikum w.b.t
Siapa yang pernah rasa disakiti? Saya juga pernah. Tapi
percayalah hidup ini terlalu singkat, ada suka ada duka silih berganti. Ajal
maut kuasa Allah tiada siapa yang boleh jangka. Dan setiap perjalanan hidup
kita juga sama, ada pasang surutnya. Sakit yang kita rasa jangan kita peduli
kerana Allah s.w.t lebih mengetahui isinya, sebab dan akibat rasa itu hadir.
Cuma apa yang penting hanyalah bersabar dan maafkan sahaja sesiapa yang
menyakiti. Memaafkan bukan bermaksud kita lemah, tapi mengalah dari menambahkan
lagi ketegangan yang ada. Sebab kita hanya manusia biasa tak mampu untuk
menutup mulut siapa-siapa untuk bersuara, walaupun mungkin ianya betul atau
salah.
Percayalah, setiap kebaikan keburukan akan ada balasan dari
Allah s.w.t. Allah sentiasa ada untuk menilai kita, untuk melindungi kita,
untuk menjaga kita tanpa jemu. Kita diberi akal untuk berfikir, kita diberi
hati untuk rasa dan kita diberi waktu untuk melakukan setiap amalan. Tetapi hanya
pada Allah sahaja kita berserah dan tawakal.
Pada saya, biar orang kata apapun yang pasti kita jangan
pernah menyakiti. Jujur dan ikhlas perlu ada pada diri walaupun tiada siapa
yang sempurna tapi kita harus berusaha untuk menjadi yang terbaik. Jangan
pernah ada perasaan hasad dengki dalam diri. Kerana ianya hanya perkara yang
sia-sia. Jangan terlalu suka menunding jari kerana kita juga tidak sempurna.
Boleh jadi orang yang kita benci, tak suka itulah sebenarnya lebih baik dari
kita, kerana kita hanya nampak keburukan orang lain sahaja, sedangkan dia
sentiasa mencari kebaikan kita. Betapa daifnya pandangan mata hati kita
terhadap orang lain. Apatah lagi kita disisi Allah.
Pernah kita terfikir betapa banyaknya kelemahan kita yang Allah sembunyikan,
sedangkan dimata orang lain kita dilihat begitu sempurna. Subhanallah.
Jangan bangga dengan kelebihan diri, dari segi harta,
pangkat, darjat dan rupa. Itu hanyalah satu ujian buat kita. Jika kita angkuh
dan sombong, bila-bila masa sahaja Allah akan tarik segala kenikmatan dan
kemewahan yang kita ada. Dan dimana tempat kita di masa itu? Sama sahaja dengan
orang lain. Samada di atas atau di bawah, kita semua sama. Tiada beza. Hanya
amalan dan tingkah laku kita yang akan dinilai dari pandangan Yang Maha Esa,
bukan sejumlah wang.
Ayuh bersihkan hati kita dari perkara mazmumah seperti
bersangka buruk, iri hati, saling menyakiti dan gantikan hati dengan bersangka
baik, bersabar, sentiasa membantu, berlembut bicara, dan berkasih sayang. Setiap hari kita mulakan hari yang baru, bak kata pepatah buang yang keruh ambil yang jernih. Jika kita sentiasa berfikir yang negatif, bermakna hati kita akan sentiasa negatif. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Cuba kita tenangkan hati dan semaikan kasih sayang kepada semua orang, hargai setiap orang yang ada disekeliling kita, pasti bahagia itu akan wujud dalam hidup kita. Kalau bukan
diri kita sendiri yang berniat baik, siapa lagi kan? Orang lain tak mampu
mengubah diri kita, mahu atau tidak, semuanya terletak pada minda kita sendiri. Think.
“Pastikan
akal itu kasih sayang, akal itu murah hati, akal itu bersyukur. Yang penting
reset minda menjadi insan yang lebih baik & positif.” (Prof. Dr. Muhaya)
1 comments:
Reset Minda. I heard that :)
Post a Comment